Sengkang General Hospital will NEVER ask you to transfer money over a call. If in doubt, call the 24/7 ScamShield helpline at 1799, or visit the ScamShield website at www.scamshield.gov.sg
Cara elak rasa penat jika perlu pandu bagi tempoh lama
SINGAPURA: Keletihan pemandu bukan sahaja menjejas mereka yang berkonvoi ke luar negara, tetapi ia juga sesuatu yang biasanya dialami oleh mereka yang bertugas sebagai pemandu khidmat kereta sewa, pemandu teksi atau pekerja penghantaran.
Malah, para pekerja platform juga lazimnya bertugas selama kira-kira 59 jam seminggu, menurut kajian yang dijalankan pada 2022 terhadap hampir 1,000 pekerja oleh Institut Kajian Dasar Universiti Nasional Singapura (NUS).
Walaupun tiada sebarang perangkaan rasmi mengenai waktu bekerja harian mereka, ia bukan perkara luar biasa untuk melihat pekerja penghantaran bekerja selama 10 hingga 12 jam setiap hari.
Dengan kira-kira 70,000 pekerja platform dalam sektor khidmat penghantaran dan kereta sewa setakat 2023, mereka membentuk tiga peratus daripada keseluruhan tenaga kerja Singapura.
Sesiapa yang pernah memandu bagi tempoh yang lama pasti tahu bahawa keletihan pemandu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku.
"Pemandu yang keletihan mungkin menunjukkan tanda-tanda seperti kerap menguap dan mata kerap terkebil-kebil, mata semakin mengecil dan kurang tumpuan dan kewaspadaan di jalan raya," kata Dr Licia Tan, seorang perunding bersekutu bersama Jabatan Perubatan Pekerjaan Hospital Besar Sengkang.
"Para penumpang mungkin mendapati pemandu itu mula gelisah, kerap terkeluar laluan atau memandu secara tidak menentu," katanya.
Justeru, bila tercetusnya keletihan pemandu? Bagaimana untuk menanganinya dan pastikan anda dapat memandu pulang dengan selamat?
Keletihan pemandu berlaku selepas memandu berterusan selama satu hingga dua jam, kata Dr Tan.
"Memandu adalah satu tugas kognitif yang memerlukan pemandu memberi tumpuan secara berterusan, bertindak balas dengan pantas dan membuat keputusan - di mana kesemuanya akan berkurangan jika pemandu itu penat."
Tentu sekali, kadar kemerosotannya bergantung pada banyak faktor, katanya, sambil menukil "perbezaan dalam setiap individu dari segi tumpuan berterusan, keletihan, kekurangan tidur, keadaan psikologi, ketajaman pemikiran dan keadaan sekitaran".
Di tengah-tengah cuaca panas sejak kebelakangan ini juga, ia turut menjejas keupayaan seseorang memberi tumpuan di jalan raya.
"Keadaan cuaca ekstrem, seperti suhu sekitaran yang tinggi mempunyai kaitan positif dengan tanda-tanda keletihan dan didapati menjejas kebolehan seseorang membuat keputusan dengan baik dan berlakunya kemalangan jalan raya," kata Dr Tan.
APAKAH JENIS KONDISI YANG JEJAS TUMPUAN PEMANDU?
Terdapat dua jenis keletihan, jelas Dr Tan.
"Dalam keletihan aktif, usaha mental yang tinggi diperlukan untuk menangani kondisi luaran yang sukar seperti cuaca buruk, keadaan jalan raya yang berbahaya dan kesesakan lalu lintas.
"Sementara itu, beliau menambah, "hasil keletihan pasif berlaku apabila terdapat tempoh berpanjangan di mana para pemandu tidak mempunyai sesuatu untuk dilakukan.
Ini berlaku ketika mereka memandu di lebuh raya dengan kawalan pelayaran, sebagai contoh.
Kedua-duanya akan membuat pemandu itu letih dari segi mental tetapi menerusi cara yang berbeza.
Dalam keletihan aktif, usaha mental yang tinggi diperlukan untuk mengekalkan daya tumpuan mereka dan ini akan menjejas keupayaan mereka untuk terus berwaspada, katanya.
Sementara itu, "rasa bosan semasa memandu boleh menyebabkan seseorang itu berasa mengantuk dan ia boleh menjejas prestasi memandu mereka".
FAKTOR LAIN JEJAS REAKSI, TUMPUAN SEMASA MEMANDU
Di media sosial sahaja, anda pasti pernah menonton video-video di mana para pemandu melepaskan kemarahan terhadap individu lain.
Menurut Dr Tan, status psikologi seseorang seperti tekanan, kegelisahan dan kemarahan boleh menjejas keupayaan pemandu membuat keputusan semasa memandu.
Selain itu, penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu juga boleh menjejas reaksi dan tumpuan para pemandu.
"Gangguan seperti menggunakan telefon bimbit meningkat risiko berlaku kemalangan kerana ia menjejas tumpuan visual dan mental anda."
APA KESANNYA TERHADAP KESIHATAN?
Walaupun ia menghasilkan beban mental yang tinggi, memandu adalah satu kegiatan sedentari atau kurang bergerak.
Para pemandu biasanya "duduk berjam-jam lamanya, makan tidak mengikut masa dan mempunyai akses terhad kepada aktiviti fizikal - di mana ia meningkatkan risiko menghidap penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan obesiti", kata Dr Tan.
APA YANG BOLEH PEMANDU LAKUKAN?
Berikut empat tip yang dikongsi oleh Dr Tan:
1. Jaga pemakanan seimbang dan makan mengikut waktu
Bawa snek berkhasiat seperti buah-buahan dan kekacang tanpa garam sekiranya sukar untuk mendapat akses kepada makanan.
2. Minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari
Pastikan anda sentiasa minum air kerana kedahagaan boleh menyebabkan keletihan, pening kepala dan menjejas daya tumpuan.
3. Ambil masa untuk berehat sekerap mungkin
Jika boleh, anda disarankan untuk pergi berehat selama lima hingga 10 minit setiap jam.
Sebagai contoh, anda boleh lakukannya selepas menurunkan seorang penumpang atau menghantar barang.
Lakukan senaman ringan, berjalan kaki untuk menggalakkan aliran darah.
4. Elakkan daripada bekerja melebihi masa
Memandu lebih daripada 12 jam meningkatkan risiko kesilapan berkaitan keletihan dan bahaya kardiovaskular pada jangka panjang.
Read the full article here.
Stay Healthy With
© 2025 SingHealth Group. All Rights Reserved.