Sengkang General Hospital will NEVER ask you to transfer money over a call. If in doubt, call the 24/7 ScamShield helpline at 1799, or visit the ScamShield website at www.scamshield.gov.sg
SINGAPURA: Semangat dan dedikasi seorang jururawat kuat mengalir dalam darah Encik Muhammad Aljufri Mohamad Taufik, 36 tahun.
Beliau mahu mengikuti jejak langkah arwah nenek dan dua orang ibu saudaranya.
Kini, sudah masuk tahun ke-13 beliau menceburi bidang tersebut.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang jururawat di Wad Ortopedik Hospital Besar Singapura (SGH) 13 tahun lalu.
Beliau kemudian berpindah ke Hospital Besar Sengkang (SKH) sebagai seorang Jururawat Kanan pada 2016.
"Arwah nenek saya, dia telah berkhidmat di Hospital Mount Alvernia dari tahun 1960-an hingga 70-an. Ahli keluarga dan juga rakan-rakan sekerjanya menggambarkan dia sebagai seorang yang lemah lembut, seorang yang selalu berdedikasi untuk pesakit-pesakitnya," kongsi Encik Aljufri kepada wartawan Rayyan Nor Azahar.
"Selain nenek saya, saya pun ada dua mak saudara yang juga telah berkhidmat sebagai jururawat dan mereka selalu sokong dan menggalakkan saya untuk menceburi bidang kejururawatan ini," tambahnya.
KEMBALI BELAJAR DENGAN SOKONGAN BIASISWA
Berkat dedikasinya, Encik Aljufri terpilih sebagai antara penerima Biasiswa Kejururawatan Yayasan Wee tahun ini.
Beliau telah mengikuti program Sarjana Amalan Lanjutan dalam Kepimpinan Klinikal di Universiti Curtin.
Pengajiannya dijangka selesai pada Julai 2026.
Sungguhpun demikian, bapa kepada dua orang anak itu akur akan cabaran yang harus ditempuhi untuk melanjutkan pengajian.
"Cabaran utama saya adalah mengimbangkan masa terhadap pembelajaran saya, komitmen keluarga dan juga kerja. Dari segi kewangan, ia agak sukar untuk saya menanggung kos penuh pengajian ini dengan keluarga saya yang berkembang," jelas beliau.
Walaupun begitu, Jururawat Klinikal tersebut menganggap pembelajaran sepanjang hayat sebagai sesuatu yang penting bagi kerjayanya.
"Bagi saya, pembelajaran sepanjang hayat ini sangat penting dan saya juga ingin menjadi seorang mentor kepada mereka untuk sentiasa menggalakkan mereka untuk terus belajar dan saya ingin menunjukkan bahawa dengan penuh kesungguhan dan sokongan yang menyeluruh, para jururawat dapat mencapai cita-cita profesional mereka," ujar Encik Aljufri.
Encik Aljufri kini sedang meneliti penggunaan AI untuk meningkatkan kecekapan kejururawatan di Wad Ortopedik Hospital Besar Sengkang.
DAPATKAN PHD UNTUK JADI SUMBER INSPIRASI JURURAWAT MUDA
Seorang lagi penerima biasiswa itu tahun ini ialah Cik Ang Mei Qi yang akan melanjutkan pengajiannya di Universiti Griffith pada Oktober ini.
Minat dalam bidang kejururawatan bagi Cik Ang, 38 tahun, berputik ketika beliau melihat bagaimana kakitangan hospital menjaga salah seorang ahli keluarganya dengan penuh perhatian dan belas ihsan.
Kini sudah 13 tahun beliau menggalas tugas sebagai bidan di Unit Bersalin Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).
Oleh kerana Cik Ang akur akan pentingnya untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang kejururawatan, ibu kepada tiga orang anak itu memutuskan untuk melanjutkan pengajiannya.
Menurut Pengurus Jururawat Kanan itu, melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah boleh membantu para jururawatnya untuk memikirkan cara bagi meningkatkan penjagaan wanita dan ibu bersalin.
"Sebagai seorang bidan, saya percaya bahawa melanjutkan pengajian PhD akan membekalkan saya dengan kaedah penyelidikan lanjutan yang sangat berguna untuk kami dalam memikirkan cara-cara memperbaiki penjagaan keibuan," kata Cik Ang.
Menurutnya juga, meningkatkan penjagaan keibuan semakin penting kini dengan lebih ramai wanita mendirikan rumah tangga pada usia yang lebih lewat.
"Semakin ramai wanita hamil pada usia keibuan yang lebih lanjut. Situasi ini sebenarnya meningkatkan risiko, bukan sahaja kepada wanita itu sendiri tetapi juga kepada bayi yang dikandungnya," jelas Cik Ang.
Beliau juga berharap bahawa dengan melanjutkan pengajiannya, beliau dapat mencetuskan inspirasi dalam kalangan para jururawat muda supaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Dengan mengambil langkah ini, saya berharap dapat menunjukkan kepada para jururawat dan para bidan muda bahawa kami bukan sekadar penjaga di sisi katil. Namun, kami juga penyelidik, pencipta serta pendidik yang mampu memberikan lebih daripada apa yang kita sediakan dalam bidang klinikal", kata beliau.
Cik Ang akan memulakan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah di Universiti Griffith pada Oktober tahun ini.
Read the full article here.
© 2025 SingHealth Group. All Rights Reserved.